Apabila terdengar program untuk mendaki Gunung Korbu daripada kawan-kawan, hati ini berkobar-kobar dan perasaan ingin tahu memuncak. Penulis terus mendaftar diri dan membuat persediaan yang sepatutnya. Hati ini juga tertanya-tanya kenapa gunung ini dinamakan Korbu. Namanya agak unik dan nampak ganas. Namun, setelah mendapatkan maklumat mengenainya, barulah penulis tahu, rupanya suatu ketika dulu orang asli yang menetap di kaki gunung menemui kerbau di puncak gunung. Maka, teruslah ia di gelar Korbu yang bermaksud kerbau dalam bahasa orang asli.
Gunung Korbu (7,182 ft) adalah gunung kedua tertinggi di Semenanjung
Cabaran kali ini disertai oleh 9 peserta daripada Pelopor Adventure Team dan Team Libur Backpackers. XPDC diketuai oleh Mat Rock. Beliau adalah seorang pendaki yang berpengalaman dan mempunyai lesen untuk membawa pelancong untuk aktiviti seperti ini. Namanya sememangnya tidak asing lagi di kalangan pendaki gunung di Semenanjung
Sebelum XPDC dilaksanakan, semua peserta dinasihatkan untuk melakukan persediaan dari segi fizikal dan mental. Peserta seharusnya melakukan fitness dengan berjogging, berbasikal mahupun bersenam di gym sekurang-kurangnya dua minggu sebelum XPDC. Ini adalah penting bagi seorang pendaki bagi memastikan diri benar-benar bersedia kerana mendaki Gunung Korbu iaitu salah satu daripada gunung dalam kategori G7 adalah sangat mencabar dan memerlukan ketahanan dari segi mental dan fizikal yang jitu. Pengalaman serta pengetahuan pendaki juga penting terutamanya teknik-teknik pendakian yang baik demi keselamatan dan stamina pendaki.
Empangan Sultan Azlan Shah
Hari yang dinanti telah tiba. Semua peserta berkumpul di Hentian Pudu pada jam 10 pagi dan dimulakan dengan pembahagian ration iaitu bekalan makanan & minuman, khemah dan gas memasak. Sebelum menaiki bas pada jam 11.30 pagi, ketua XPDC memberikan taklimat ringkas mengenai XPDC. Kami tiba di Terminal Bas Ekspress Medan Gopeng, Perak dan makan tengahari. Kemudian kami menaiki pacuan empat roda menuju ke Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta. Kami agak bernasib baik kerana pihak pengurusan empangan membenarkan kenderaan memasuki kawasan empangan untuk terus ke Pos Sg Termin. Kalau tidak, kami terpaksa berjalan kaki selama lebih 2 jam dari pintu masuk empangan untuk sampai ke pos tersebut. Kami bermalam di Pos Sg Termin. Peserta memasang khemah dan menyediakan makan malam. Selepas menjamu makan malam, satu sesi suai kenal diadakan kerana ada di antara kami yang masih belum mengenali sesama sendiri. Ini adalah penting untuk memudahkan komunikasi antara semua peserta bagi menjalin kerjasama yang utuh demi kejayaan sesuatu XPDC. Setelah itu, semua peserta berehat dan tidur awal. Namun, terdapat serangga yang dikenali sebagai hagas, menyebabkan kami sukar untuk tidur. Namun, dengan adanya insect repellant, kami berjaya mengatasi masalah tersebut.
Kem Batu Besar
Matahari mula menerangi bumi yang indah lagi damai ini. Tanpa melengahkan masa, kami menyiapkan diri untuk memulakan pendakian. Guide untuk XPDC kami ini ialah En. Umar daripada Silver Outdoor Sport (SOS), Perak. Beliau memberikan taklimat ringkas mengenai perjalanan kami hari ini dan mengingatkan peserta mengenai adab-adab ketika berada di dalam hutan agar dapat dijauhkan daripada perkara yang tidak diingini. Setelah membaca doa, kami memulakan pendakian pada jam 8.30 pagi. Perjalanan kami agak mudah kerana faktor geografi yang agak landai walaupun sesekali kami terpaksa menyeberang sungai. Setelah melalui Bukit Nanas iaitu perkampungan orang asli Sg Termin, kami tiba di Dataran Pacat untuk berehat. Dataran ini memang sesuai dengan namanya kerana terdapat banyak pacat termasuk spesis pacat berbelang kuning. Perjalanan diteruskan sehinggalah kami tiba di Termin Waterfall Camp atau lebih dikenali sebagai Kem Batu Besar. Kem ini agak menarik kerana terdapat air terjun yang dianggarkan mempunyai ketinggian lebih 10 meter. Selepas sesi mengambil gambar, kami meneruskan perjalanan merentasi Bukit Penat dan selepas 2 jam perjalanan kami tiba di Kem Seroja. Kawasan kem ini agak luas di mana ia boleh memuatkan sehingga 40 orang pada satu masa. Sumber air juga mudah didapati. Kami menjamu makan tengahari iaitu nasi himpit dan serunding. Setelah selesai, kami meneruskan perjalanan merentasi Bukit Lagi Penat. Trek agak mencanak dan sesekali melalui trek yang agak landai di samping menyeberangi sungai-sungai kecil.
Kem Kijang
Setelah 3 jam perjalanan kami tiba di destinasi kami hari ini iaitu Kem Kijang untuk bermalam. Setelah khemah di pasang, peserta membersihkan diri di sungai berdekatan dan menyediakan makan malam. Kami memerlukan rehat yang cukup kerana trek yang akan kami lalui esok agak terpacak dan mencanak. Suasana malam yang gelap dan sejuk serta kepenatan dalam perjalanan siang tadi membuatkan mata mudah saja untuk terlena.
Indahnya sungguh di pagi ini, burung berkicau menyanyi-nyanyi. Keadaan kem agak samar-samar dari cahaya matahari kerana dilindungi pokok-pokok tinggi umpama sebuah kanopi kelihatan amat indah sekali. Sesekali terdengar kicauan burung sambung-menyambung seolah-olah ingin memberitahu kami bahawa hari sudah siang dan perjalanan harus diteruskan. Setelah kami mendapatkan ration masing-masing, kami bersiap sedia untuk memulakan perjalanan. Kami juga meninggalkan sebahagian ration kerana ia akan membebankan pendaki kerana kami juga akan melalui trek ini apabila perjalanan turun nanti. Jadi, lebih baik ditinggalkan di kem Kijang dengan menggantungnya di pokok agar ia tidak diganggu oleh haiwan liar. Seperti biasa, sebelum memulakan perjalanan guide memberikan taklimat dan perjalanan dimulakan dengan bacaan doa. Trek hari ini sememangnya menguji mental dan fizikal kami. Dengan adanya taklimat daripada guide, kami lebih bersedia dari segi mental agar tabah dan sabar mengharungi cabaran yang amat hebat hari ini. Purata beg sekitar 15 hingga 20 kg amat terasa bebanannya. Bagi pendaki yang ingin mendapatkan khidmat porter, mereka terpaksa membayar RM180 sehari untuk menggalas beg mereka yang tidak melebihi 15 kg. Kebiasaannya, khidmat ini digunakan oleh pendaki dari luar Negara yang tidak mahu terbeban dengan beg galas dan hanya mahu menikmati keindahan hutan di Negara kita. Menurut guide, adakalanya pihak media seperti wartawan yang menggunakan khidmat porter untuk mengangkat beg video kamera supaya mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada aktiviti penggambaran. Menurut guide lagi, terdapat satu kem yang dinamakan Kem TV3 kerana mereka pernah berehat dan bemalam di situ.
Last Water Point (LWP)
Setelah 2 jam perjalanan, kami tiba di punca air terakhir yang mana lebih dikenali sebagai Last Water Point (LWP). Kami di kehendaki untuk membawa sekurang-kurangnya 2 botol 1.5 liter seorang untuk kegunaan di puncak Gunung Korbu. Kebanyakkan gunung sememangnya tidak mempunyai sumber air di puncak. Setelah menikmati makan tengahari bermenukan nasi himpit dan sup cendawan, kami meneruskan perjalanan selama lebih satu jam kami tiba di Puncak Botak. Cuaca agak berkabus dan puncak Gunung Korbu tidak kelihatan. Cuma Puncak Chuban yang kelihatan dari kejauhan. Sekiranya cuaca cerah pasti pemandangannya indah sekali. Kedinginan mula terasa dan kami tekad untuk meneruskan perjalanan. Keadaan denai yang dipenuhi selut agak memenatkan. Kadangkala kami terpaksa melalui trek yang sememangnya mencanak iaitu lebih kurang 80 darjah dan memerlukan tali untuk memanjat. Keadaan dinding batu yang agak licin menyebabkan ada di antara kami tergelincir dan cedera. Namun ia tidak mematahkan semangat untuk terus ke puncak Korbu. Hari semakin gelap dan kami seharusnya mempercepatkan perjalanan untuk memasang khemah sebelum hujan gunung yang sejuk membasahi kami. Namun ada juga di antara kami yang cedera tidak dapat bergerak dengan pantas dan mereka sampai ke puncak Korbu apabila malam menjelma. Keadaan sejuk dan oksigen yang semakin berkurangan menyebabkan pendaki mudah letih dan hanya bergantung kepada kekuatan mental untuk sampai ke destinasi. Peserta yang terakhir tiba di Puncak Gunung Korbu tiba pada jam 8.30 malam. Keadaan mereka yang terlalu letih disambut dengan minuman panas oleh peserta yang tiba dahulu cukup melegakan mereka. Pada masa inilah pentingnya semangat setiakawan yang mengambil berat tentang kawan-kawan yang lain. Keadaan di puncak gunung yang amat sejuk amat dirasai apabila hujan kabus mulai turun dan sesekali terpukul dengan angin kuat yang amat sejuk itu. Bunyi pokok yang ditiup angin kencang umpama pantai yang dipukul ombak.
Puncak Gunung Korbu
Apabila matahari mulai muncul menerangi bumi, suasana pagi yang agak berkabus tidak memperlihatkan permandangan gunung-gunung yang indah di sekeliling puncak. Namun ada di antara kami kami awal-awal lagi keluar mengambil gambar permandangan dan tumbuh-tumbuhan seperti bonsai, periuk kera (Nepenthes), Payung Ali dan sebagainya. Hidangan sarapan telahpun disediakan. Semua peserta menikmati sarapan dengan berselera sekali. Kami juga berborak-borak mengenai perjalanan kami sebelum ini.
Apabila tiba masa kami untuk memulakan perjalanan turun, kami sempat bergambar kenangan biarpun kabus semakin tebal. Setelah melakukan regangan otot kami mulakan perjalanan turun pada jam 12.30 petang. Ketika trekking menuruni gunung, pendaki seharusnya lebih berhati-hati kerana ia lebih merbahaya daripada mendaki. Sekiranya tersilap langkah, ia pasti mengundang padah seperti kekejangan otot, terseliuh dan mungkin boleh mencederakan pendaki seperti tergelincir dan jatuh ke dalam gaung. Perjalanan turun adalah lebih pantas kerana peserta tidak perlu memerah keringat dan cuma perlu lebih berhati-hati. Dalam pada itu, faktor jenis kasut adalah sangat penting. Sekiranya kasut tidak boleh mencengkam batu-batu, pendaki mudah sekali untuk jatuh dan cedera.
Kem Kancil
Hujan mulai turun dan kesejukkan amat terasa sehingga ke tulang. Namun pergerakan badan menyebabkan badan terasa panas dan berpeluh. Setelah melalui Puncak Chuban, Puncak Botak dan Last Water Point, kumpulan yang pertama seramai 5 orang tiba di Kem Kijang. Keadaan yang mulai gelap memaksa kami membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan sehingga ke Kem Seroja untuk memasang khemah dan menyediakan makanan. Setelah membahagikan ration yang ditinggalkan di Kem Kijang kami meneruskan perjalanan. Namun, setelah 15 minit perjalanan, salah seorang daripada kumpulan yang terkebelakang mengejar kami dan menyatakan bahawa ada peserta yang cedera. Setelah berbincang, kami memutuskan untuk memberhentikan perjalanan dan terpaksa membuka kem yang baru yang kami namakan Kem Kancil yang hanya boleh memuatkan 10 hingga 15 orang. Dengan keadaan hujan dan lembab, kami memasang khemah dan berehat. Peserta yang cedera itu, direhatkan di dalam khemah agar cepat sembuh kerana perjalanan berbaki lagi satu hari untuk keluar dari kawasan hutan lipur ulu kinta. Pada malam yang terakhir ini, menu makan malam kami iaitu spaghetti amat menyelerakan kerana keadaan semua peserta yang terlalu letih. Setelah makan malam, semua peserta berehat dan tidur. Namun ada juga yang terjaga di awal dinihari, kerana khemah dimasuki hagas yang mana apabila ia menggigit manusia, kulit amat terasa gatal dan tidak selesa.
Waktu pagi yang agak kurang kedamaiannya seolah-olah mengetahui hari ini adalah hari terakhir kami di sini. Hujan turun renyai menyukarkan kami untuk mengemas peralatan untuk meneruskan perjalanan balik. Sekitar jam lebih kurang 10 pagi, kami memulakan perjalanan. Setelah lebih kurang 2 jam perjalanan kami tiba di Kem Seroja untuk berehat sementara menunggu peserta yang kelambatan. Kami seterusnya memulakan perjalanan dan tiba di Kem Batu Besar untuk makan tengahari.
Setelah kenderaan pacuan 4 roda tiba untuk menjemput kami, kami bergerak menuju ke Hentian Bas Gopeng untuk mendapat bas untuk kembali ke
Pengalaman mendaki Gunung Korbu tersemat di sanubari semua peserta dan merancang untuk kembali ke Gunung Korbu dengan semangat yang lebih berkobar dan perancangan yang lebih teliti dengan misi yang lebih mencabar iaitu mendaki tiga gunung iaitu iaitu melalui Pos Sg Termin Ulu Kinta mendaki Gunung Korbu, Gunung Gayong dan seterusnya Gunung Yong Belar kemudian turun di Cameron Highland, Pahang, yang lebih dikenali sebagai Tran Titiwangsa. Mungkin juga terus ke Gunung Yong Yap, Gunung Chamah dan Gunung Ulu Sepat yang memakan masa lebih 21 hari untuk melengkapkan G6 di Banjaran Titiwangsa.
Bagi pembaca libur yang ingin mendaki Gunung Korbu, seeloknya mendapatkan informasi mengenainya terlebih dahulu dan rancanglah XPDC dengan teliti dengan mendapatkan maklumat daripada pendaki yang berpengalaman. Juga dinasihatkan agar menyediakan bekalan ubat-ubatan dan first aid kit yang cukup agar sentiasa sihat sepanjang perjalanan. Anda juga boleh menghubungi pihak pengurusan Silver Outdoor Sport (S.O.S.) Perak untuk mendapatkan informasi dan guide yang berpengalaman agar keselamatan pendaki lebih terjamin. Sesuai dengan motto S.O.S. “no one left behind”. Kepada pendaki-pendaki yang merancang untuk mendaki Gunung Korbu, kami ucapkan selamat mendaki dan pastikan kesucian alam sekitar tidak dicemari dengan pencemaran seperti sampah dan menconteng di pokok atau batu di sepanjang trek mendaki. Semoga bertemu lagi di XPDC yang lain.
best!!!
ReplyDelete